MACHANG, 26 Oktober 2026 – Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengadakan kunjung hormat ke Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan untuk meninjau keunikan seni tekstil, tenunan dan hasil kreativiti mahasiswa.
Dalam kunjungan tersebut, YAM Tengku Puteri Jihan disajikan dengan demonstrasi tenunan oleh pelajar Diploma Seni Reka Tekstil serta meninjau pameran karya seni tenunan, seni serat dan reka bentuk tekstil yang mengetengahkan kehalusan teknik serta kreativiti mahasiswa.
Kunjungan turut merangkumi bengkel tenunan dan pameran khas karya mahasiswa daripada Jabatan Seni Reka Tekstil, Seni Halus dan Seni Logam Halus.
YAM Tengku Puteri Jihan turut meluangkan masa bertemu dan beramah mesra dengan pelajar kelahiran Pahang yang sedang melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.
Kunjungan ini mencerminkan penghargaan terhadap bakat generasi muda serta kepentingan memelihara dan memperkasakan seni tekstil dan warisan kraf negara. – KESULTANAN PAHANG





