GAMBANG, 29 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Solar Fotovolta Terapung (Floating Solar PV) Empangan Chereh, sebuah projek berimpak tinggi yang dijangka menjadi loji tenaga solar terapung terbesar di Asia Tenggara, di sebuah resort di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda disambut oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah; Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MASDAR, Mohamed Jameel Al Ramahi serta Pengarah Eksekutif, Projek dan Pembangunan Perniagaan MASDAR, Abdulla Zayed.
Majlis dimulakan dengan tayangan video projek, diikuti ucapan oleh Abdulla Zayed dan Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria sebelum Paduka Baginda berkenan menyempurnakan gimik pecah tanah sebagai simbolik bermulanya pelaksanaan projek berkenaan.
Sementara itu, Paduka Baginda menzahirkan harapan agar projek ini dapat memberikan manfaat besar kepada negeri Pahang, khususnya dalam pembangunan tenaga boleh baharu selain membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Paduka Baginda turut berharap projek berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan agar manfaat penjanaan tenaga bersihnya dapat dinikmati oleh kira-kira 100,000 buah rumah seperti yang disasarkan.
“Projek ini membawa makna yang besar kepada Pahang kerana ia merupakan satu permulaan dalam pembangunan tenaga boleh baharu dan antara projek terbesar seumpamanya di Asia Tenggara.
“Saya berharap projek ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan seperti yang dinyatakan dan dapat disiapkan secepat mungkin supaya kira-kira 100,000 buah rumah dapat menikmati manfaatnya,” titah Paduka Baginda.
Mengulas mengenai aspirasi Pahang ke arah ekonomi hijau, Paduka Baginda bertitah bahawa usaha berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat dan memerlukan perancangan serta pelaksanaan yang berterusan oleh kerajaan.
“Kita akan berusaha ke arah itu, tetapi ia tidak boleh dicapai dalam sekelip mata. Kita akan bergerak ke arah tersebut dari semasa ke semasa melalui usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan,” titah Paduka Baginda.
Projek berkenaan dijangka menjadi loji tenaga solar terapung terbesar di Asia Tenggara apabila siap kelak, dengan kapasiti penjanaan sebanyak 200 megawatt yang dipasang di permukaan empangan seluas kira-kira 607 hektar.
Projek yang melibatkan pelaburan berjumlah kira-kira RM850 juta itu dijadualkan memulakan kerja-kerja awal pada awal 2027 dan dijangka menjana tenaga elektrik bersih yang mencukupi untuk membekalkan kira-kira 100,000 buah rumah setiap tahun.
Selain menyokong agenda peralihan tenaga negara, projek ini turut mengoptimumkan penggunaan permukaan empangan bagi menjana tenaga bersih tanpa mengetepikan fungsi utamanya sebagai sumber bekalan air.
Sepanjang fasa pembinaan, projek berkenaan dijangka mewujudkan kira-kira 1,500 peluang pekerjaan, sekali gus membuka ruang kepada penyertaan rakyat, kontraktor dan pembekal tempatan dalam pelaksanaannya.
Pelaksanaan projek itu akan dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan aspek keselamatan, pemeliharaan sumber air dan kelestarian alam sekitar terus diberikan perhatian. — KESULTANAN PAHANG






