KUANTAN, 11 November 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menasihati seluruh rakyat di negeri ini khususnya penduduk di kawasan yang berisiko dilanda banjir agar sentiasa berwaspada dan mematuhi segala nasihat serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dan agensi berkaitan sepanjang menghadapi musim tengkujuh.
Paduka Baginda bertitah, aspek keselamatan diri dan keluarga hendaklah sentiasa menjadi keutamaan, terutama ketika berdepan keadaan cuaca tidak menentu serta risiko hujan berterusan yang boleh mengakibatkan banjir dan bencana alam lain.
Sehubungan itu, Paduka Baginda menyeru penduduk di kawasan rendah dan berhampiran lembangan sungai supaya mengambil langkah persediaan awal, termasuk menyimpan dokumen penting, memastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat serta bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa.
Paduka Baginda turut mengingatkan rakyat agar tidak mengambil mudah sebarang amaran awal perihal cuaca dan banjir yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), selain sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi kerajaan.
Dalam pada itu, Paduka Baginda berharap seluruh agensi pengurusan bencana, pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.
Paduka Baginda juga menyeru rakyat agar mengutamakan semangat kebersamaan, saling membantu dan prihatin terhadap golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak serta mereka yang memerlukan bantuan, khususnya ketika menghadapi situasi kecemasan.
Paduka Baginda menzahirkan harapan segala langkah persediaan dan tindakan awal yang dilaksanakan dapat membantu mengurangkan risiko serta kesan bencana, sekali gus memastikan keselamatan seluruh rakyat Negeri Pahang sepanjang musim tengkujuh ini. -KESULTANAN PAHANG







