LIPIS, 6 Februari 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan perasmian Kilang Peluru Ketech Asia Sdn Bhd di Kechau Tui, Padang Tengku di sini.

Ketibaan Paduka Baginda disambut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Ketech Asia, Encik Nahar Nasir serta Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, YB Dato’ Sri Ir.Haji Mohd Soffi bin Tan Sri Haji Abd.Razak.

Paduka Baginda kemudiannya berkenan mendengar persembahan taklimat berkenaan operasi kilang sebelum melihat proses pembuatan peluru automasi tinggi pertama di negara ini.
Sementara itu, Paduka Baginda ketika ditemui media menzahirkan rasa gembira dengan kewujudan kilang peluru yang mengisi sasaran usaha mewujudkan Industri Pertahanan di daerah Lipis.

“Selain mengurangkan kebergantungan terhadap import peluru, kilang ini juga telah membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
“Saya sentiasa mengalu-alukan mana-mana syarikat yang boleh mendatangkan kebaikan dan hasil kepada negeri dan rakyat Pahang,” titah Paduka Baginda.

Kilang Peluru Ketech Asia Sdn Bhd ini menghasilkan peluru kaliber 5.56 mm dan 9 mm yang berkualiti tinggi serta sesuai dengan keperluan agensi keselamatan tempatan dan antarabangsa dengan pengeluaran sebanyak 60 juta setahun bagi setiap kaliber. -KESULTANAN PAHANG