Pulau Tioman 14 Julai 2024 – Pahang berjaya mencatat rekod Malaysia Book of Records (MBOR) dengan melabuhkan dua gerabak tren Transit Aliran Ringan (Light Rail Transit) sebagai tukun tiruan (artificial reef) pertama ke dasar laut Pulau Tioman.
Lebih membanggakan peristiwa bersejarah itu disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah di Berjaya Tioman Resort di sini semalam.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tapak terumbu baru ini telah dinamakan sebagai Tapak Selam Al-Sultan Abdullah.
Pengurus Besar Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), Tuan Haji Mohd Fakhrul Islam Juhali berkata, usaha melabuhkan dua gerabak tren LRT di kedalaman 18 meter di Monkey Bay, Tioman itu telah berlangsung pada 9 dan 10 Julai 2024, baru-baru ini.
Gerabak-gerabak ini telah pun dibersihkan secara teliti bagi memastikan tiada bahan kimia berbahaya yang tersisa agar ia menjadi tempat perlindungan yang selamat untuk hidupan laut.
Program ini melibatkan 60 penyelam yang diketuai oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Menyertai projek ini adalah suatu penghormatan buat saya. Kami telah membuka jalan untuk usaha pemuliharaan marin untuk masa hadapan serta menetapkan penanda aras eko-pelancongan,” titah Yang Amat Mulia Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah selaku ketua penyelam bagi projek ini yang juga dikenali sebagai Malaysia Book of Records: The First LRT Coach Reef in Malaysia. – KESULTANAN PAHANG