PEKAN 5 Ogos 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah akan membuka lembaran baharu dalam usaha memelihara warisan tenun negeri ini selain menjadi destinasi tumpuan peminat kraf dari dalam dan luar negara.
Paduka baginda bertitah, projek pembangunan yang diinspirasikan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ini juga merupakan platform terbaik untuk rakyat melihat dan mengenali cara pembuatan tenun.
“Tengku Ampuan Pahang telah berusaha dengan giatnya untuk memberi kesedaran kepada rakyat Pekan dan Pahang supaya kita harus bangga dengan tenunan dari Pekan itu sendiri.
“Lebih menarik lagi, daripada kenyataan ini adalah antara mereka yang sudah pun terlibat secara langsung di Pekan ini, dengan usaha Tengku Ampuan ia telah melibatkan banduan daripada Penor, Bentong supaya mereka dapat peluang hidup semula bila keluar daripada resort (penjara).
“Di sini saya selaku Sultan Pahang dan suami kepada isteri tersayang berdoa, bersama kita supaya kompleks ini dapat terus maju dan dijaga dengan baik dan sesuai dengan hari ini ,sebelum hari Keputeraan Tengku Ampuan Pahang pada hari esok (hari ini),” titah baginda.
Paduka baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli merasmikan Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah di Pulau Keladi di sini.
Turut berangkat Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj serta Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut sama ialah Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah bersama isteri, YHM Che Puan Panglima Raja Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz,; YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ; YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Athiyatullah. – KESULTANAN PAHANG